Tempat duduk Zainol Fadzi kekal, hanya Nadziruddin ditukar

Iklan
Zainol Fadzi.

IPOH - Teka-teki sama ada berlaku pertukaran tempat duduk di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak terjawab apabila persidangan yang berlangsung hari ini menyaksikan berlaku perubahan.

Bagaimanapun perubahan tersebut tidak seperti yang diharapkan oleh Perikatan Nasional (PN) Perak apabila hanya tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi ditukar seperti diminta manakala ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin kekal.

Iklan
Iklan

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika sesi soalan lisan mengumumkan berlaku pertukaran tempat duduk di blok pembangkang.

"Saya suka nak maklumkan kepada Dewan bahawa hari ini (Isnin) di barisan blok pembangkang ada sedikit perubahan dengan izin sitting arrangement ini disebabkan oleh permohonan daripada PN sendiri.

Iklan

"Sebagai Speaker dan juga Dewan, kita cuba memenuhi kehendak permohonan tersebut sebaik yang mungkin supaya Ahli Dewan semua dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik dan lebih efisien dalam dewan," katanya sempena Sidang DUN Perak pada Isnin.

Perubahan terbaharu itu menyaksikan Nadziruddin duduk bersebelahan dengan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri bersama-sama ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias.

Iklan

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan PN Perak menghantar surat kepada Pejabat Speaker DUN bagi menukar tempat duduk dua ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Difahamkan perubahan tersebut dicadangkan di antara ADUN Sungai Manik dengan ADUN Changkat Jong.

Perkara tersebut disahkan Speaker DUN Perak yang memaklumkan bahawa surat yang ditandatangani oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tersebut diterimanya pada 16 April ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.

Ahmad Faizal juga mengakui menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Speaker DUN Perak bagi permohonan mengubah susun atur tempat duduk blok pembangkang.

Beliau berkata, ia prosedur biasa dan pernah berlaku misalnya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebelum ini, pihaknya mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk meletakkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar lebih kanan daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Jelas Ahmad Faizal, memandangkan Zainol Fadzi meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak diganti dengan Nadziruddin, perubahan tempat duduk mesti dibuat atas dasar hierarki.