Warisan kekal sokong Dr Mahathir

Iklan
Loretto

SHAH ALAM - Parti Warisan Sabah (Warisan) sehingga kini kekal menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blok pembangkang dan tidak kepada Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua berkata, Warisan bersama rakan seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan terus mentadbir Sabah walaupun kerajaan di peringkat Pusat telah bertukar.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, kita (Warisan) tetap dengan pendirian menyokong Dr Mahathir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Loretto turut menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang perubahan kerajaan di Sabah susulan perubahan politik di peringkat Persekutuan.

Iklan

"Kerajaan yang ada pada hari ini masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Warisan, DAP, PKR dan UPKO.

"Kalau kita lihat di blok kerajaan pada hari ini kita mempunyai 43 ADUN dengan pecahan Warisan 31, DAP (enam), UPKO (empat) dan PKR (dua). Jumlah ini tidak termasuk lima ADUN lantikan," katanya.

Iklan

Jelasnya lagi, pihak pembangkang Sabah pula hanya mempunyai 17 ADUN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan UMNO.

"Pecahan bagi mereka ialah Bersatu (9), PBS (4), STAR (3) dan UMNO (1)," katanya.

Sebelum ini wujud dakwaan mengatakan kerajaan Warisan dan sekutunya bakal berstatus pembangkang berikutan tumbangnya PH.

Terdapat ura-ura bahawa ADUN Warisan dan rakan sekutunya seperti UPKO, DAP dan PKR akan mengalihkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.