CHONGQING – Pencipta kandungan YouTube terkenal Amerika Syarikat (AS), IShowSpeed, menarik perhatian ramai menerusi lawatannya ke China baru-baru ini, sekali gus mencetuskan minat dalam kalangan peminatnya terhadap kemajuan teknologi negara itu, khususnya produk keluaran Huawei Technologies dan BYD Company Limited (BYD).
IShowSpeed atau nama sebenarnya, Darren Jason Watkins Jr, mempunyai 38.4 juta pelanggan di saluran YouTube miliknya dan sering melakukan penstriman langsung selama beberapa jam dalam satu sesi.
Personaliti kelakar, dramatik dan berani anak muda berusia 20 tahun itu menjadikan beliau popular dalam kalangan generasi muda yang mengikuti pengembaraannya ke serata dunia.
Lawatannya ke beberapa bandar utama China termasuk Shenzhen, Chongqing dan Shanghai menjadikan beliau secara tidak langsung sebagai 'duta digital' kepada negara Asia tersebut, tatkala China, sebagai kuasa ekonomi kedua dunia, masih berdepan tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Profesor Barbara Duffek dari Universiti Negeri Georgia berkata, pendekatan Watkins yang bersahaja dan tulen menjadikan beliau mudah dipercayai.
"Ia lebih berkesan daripada sebarang bentuk sokongan rasmi yang disusun secara berskrip,” katanya.
Kagum teknologi kereta BYD
Dalam satu sesi penstriman hampir enam jam yang ditonton lebih lapan juta kali, Watkins dilihat menaiki kenderaan pelbagai guna (SUV) mewah BYD Yangwang U8 yang mampu terapung di atas air.
Beliau pada awalnya menjerit ketakutan apabila kenderaan itu dipandu masuk ke dalam sungai, sebelum berubah menjadi teruja apabila menyedari kenderaan tersebut tidak tenggelam.
"Oh Tuhan, kereta ini tak tenggelam dan kami masih berada di dalamnya! China memang hebat, kereta China terbaik, bro!” katanya sambil merakamkan aksi itu dari bumbung suria SUV tersebut.
Dalam sesi sama, beliau turut mengunjungi sebuah kedai Huawei di Shenzhen dan membeli tiga unit Huawei Mate XT, telefon pintar komersial pertama di dunia yang boleh dilipat dua kali daripada tablet kepada telefon.
Netizen: China di tahap lain
Penstriman langsung dan rakaman Watkins menarik perhatian netizen dari seluruh dunia, termasuk rakyat AS yang mengakui mereka semakin kagum dengan kemajuan teknologi China.
Dalam satu lagi rakaman, Watkins dilihat menaiki kereta terbang dan memperkenalkan kereta mewah elektrik BYD Yangwang U9 yang menurutnya boleh 'menari sendiri' apabila dikawal menggunakan telefon bimbit, sambil beliau menari bersebelahan kenderaan itu.
'Duta budaya digital'
Lawatan Watkins turut mendapat perhatian pihak Kedutaan China di AS yang menyifatkan perjalanan tersebut sebagai simbol pengaruh digital yang berperanan sebagai jambatan budaya antara negara.
Malah, saluran televisyen China, CCTV-13 menyiarkan liputan khas selama lapan minit berkenaan lawatannya dan memuji beliau kerana memaparkan pelbagai sisi China menerusi rakaman tulen.
Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang mempertikaikan motif lawatan tersebut, termasuk dakwaan bahawa kandungan yang dikongsi mungkin bersifat propaganda dan menimbulkan kebimbangan mengenai privasi data melalui telefon Huawei yang dibelinya.
Siapa IShowSpeed?
Darren Jason Watkins Jr dilahirkan pada 21 Januari 2005 di Cincinnati, Ohio dan merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Beliau jarang berkongsi maklumat peribadi mengenai keluarganya, namun sesekali menyebut tentang mereka ketika melakukan penstriman langsung.
Watkins mula aktif di YouTube ketika usia remaja dan berjaya meraih populariti menerusi karakter yang bertenaga, kelucuan spontan serta interaksi mesra bersama peminat dari seluruh dunia. -Agensi