'Konsistensi Sri Lanka tumbangkan Bunga Raya 15s'

Iklan
Kehadiran pemain naturalisasi dari Fiji, Etonia Saukuru (dua dari kanan) gagal bantu skuad Bunga Raya 15s di Colombo. FOTO: RUGBY ASIA

PENGENDALI skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, menyifatkan konsistensi di setiap posisi Sri Lanka sebagai faktor utama kemenangan pasukan The Tuskers ke atas Bunga Raya dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Stadium Racecourse, Colombo pada Sabtu.

"Dalam perlawanan hari ini (Sabtu), corak permainan Sri Lanka sangat pantas dan tersusun, khususnya di bahagian backline yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk menembusi barisan pertahanan kita.

Iklan
Iklan

"Sebaliknya, kita kurang cermat dalam mengawal bola apabila berjaya merampasnya. Pemain gagal mengekalkan penguasaan dalam tempoh yang lama, menyebabkan beberapa peluang tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya selepas perlawanan.

Saizul Hafifi Foto: KRM

Harapan skuad Bunga Raya 15s untuk kekal bersaing dalam Divisyen Premier ARC tidak kesampaian apabila tewas 19-59 kepada skuad bimbingan Sanath Martis itu.

Iklan

Menurut beliau lagi, meskipun pemain negara menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan berjaya mencatat tiga try, kelebihan tetap memihak kepada Sri Lanka yang beraksi dengan lebih kemas dan berdisiplin.

"Kita memang menunjukkan keazaman untuk bangkit dan bersaing apabila berjaya memperoleh tiga try, namun Sri Lanka sememangnya layak muncul sebagai pemenang dalam perlawanan ini,” ujarnya.

Iklan

Mengulas lanjut, Saizul Hafifi tetap optimis terhadap masa depan skuad negara dan yakin mereka mampu bangkit sekiranya kombinasi antara pemain baharu dan pemain berpengalaman dapat diperkukuh.

"Saya berharap para pemain tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha gigih meningkatkan mutu permainan masing-masing.

"Insya-ALLAH, saya percaya pasukan ini mampu bangkit dari Divisyen Satu mewarnai saingan Divisyen Premier musim depan,” katanya.

Sementara itu, penolong kapten skuad Bunga Raya 15s, Mohamad Nasharuddin Ismail turut menyatakan rasa bangga terhadap prestasi rakan sepasukan biarpun keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan negara.

"Jika dilihat kepada keputusan, memang kita tewas dengan margin besar. Namun, saya amat berbangga dengan prestasi semua pemain, terutamanya mereka yang melakukan penampilan sulung.

"Saya juga berharap kombinasi pemain baharu dan senior ini dapat dikekalkan atau diperkasa bagi menghadapi cabaran dalam saingan Divisyen Satu nanti,” katanya.