SAMBIREJO - Seorang pesakit melakar momen indah apabila dia diberikan peluang untuk melangsungkan pernikahan bersama kekasihnya.
Hari bahagia Shendy Purnama, 29, turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa kakitangan perubatan Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) dr Soehadi Prijonegoro Sragen yang meluangkan masa untuk mengiringinya dan turut dihantar dengan ambulans.
Difahamkan, Shendy didiagnos mengalami denggi berdarah, beberapa hari sebelum majlis itu berlangsung.
"Dia diberi tempoh selama dua jam untuk melangsungkan ijab kabul dan menghadiri resepsi pihak isterinya di Desa Jetis. Majlis pernikahan itu berlangsung di Kantor Urusan Agama (KUA) Kecamatan Sambirejo pada awal minggu lalu.
"Shendy hadir dalam keadaan berkerusi roda dan tangannya dipasang infusi," lapor Tribunnews.com.
Ketika di pelamin, seorang staf turut dilihat berada di sisinya sambil memegang beg infusi.
Meskipun hanya mempunyai waktu singkat selama 15 minit, pasangan mempelai berkesempatan untuk merakamkan foto bersama keluarga masing-masing.
Shendy memberitahu dia mula jatuh sakit pada 9 April lalu dan dirujuk ke RSUD dr Soehadi Prijonegoro, kira-kira dua hari sebelum majlis berlangsung.
Staf perubatan enggan merosakkan acara itu dan bertindak memohon kebenaran cuti sakit khas untuknya.
"Ini menunjukkan komitmen rumah sakit dalam untuk memastikan pesakit tidak terlepas momen penting," jelas laporan itu lagi. - Agensi