WASHINGTON - Arkib Negara Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mula mengeluarkan kumpulan pertama rekod sulit pembunuhan Senator Demokrat, Robert F Kennedy (RFK) pada 1968 yang bakal merungkai fakta baharu tentang tragedi itu.
Pendedahan maklumat rahsia setebal kira-kira 10,000 muka surat itu dibuat berdasarkan arahan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan disokong anaknya, Setiausaha Kesihatan, Robert F Kennedy Jr.
Dokumen itu termasuk nota tulisan tangan tertuduh, Sirhan Sirhan, keterangan saksi, gambar di lokasi jenayah.
Difahamkan, sebahagian besar daripada butiran tersebut telah pun diketahui umum.
Pengarah Risikan Kebangsaan, Tulsi Gabbard berkata, pembongkaran maklumat sulit dengan suntingan terhad atas sebab privasi itu yang juga boleh diakses secara dalam talian.
"Fail tambahan setebal 50,000 muka surat tentang pembunuhan RFK itu ditemui ketika pencarian di gudang Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang tidak dikembalikan ke Arkib Negara,” ujarnya.
Pembongkaran itu dibuat kira-kira sebulan selepas fail rahsia mengandungi dokumen setebal kira-kira 80,000 muka surat berkaitan pembunuhan Presiden ke-35 AS, John F Kennedy (JFK) pada 22 November 1963 didedahkan kepada orang ramai yang memberikan butiran lebih terperinci tentang operasi rahsia kerajaan ketika era Perang Dingin di negara lain. - Agensi
Info:
>RFK, 42, dibunuh di Ambassador Hotel di Los Angeles selepas meraikan kemenangannya pada pemilihan utama presiden California pada 5 Jun 1968.
>Tidak lama selepas insiden pembunuhan itu yang turut disiarkan stesen TV, imigran Palestin, Sirhan, 24, ditahan di lokasi kejadian bersama pistol.22-caliber. Dia juga didakwa menulis manifesto menggesa pembunuhan RFK pada ulang tahun pertama memperingati Perang Enam Hari antara Israel dan beberapa negara Arab.
>Robert Kennedy Jr yang berusia 14 tahun ketika bapanya dibunuh pernah bertemu dengan Sirhan di Penjara California pada 2017 dan kemudiannya menyokong pembebasannya yang dikemukakan kepada lembaga parol.
>Sejak beberapa tahun lalu, Kennedy Jr menyuarakan teori baharu bahawa pengawal keselamatan, Thane Eugene Caesar yang membunuh bapanya.