LITAR Horizon Beranang bergema dengan deruman enjin dan sorakan semangat apabila bakat-bakat muda negara menunjukkan aksi memukau dalam sesi pemilihan Kejuaraan RCB MiniMoto 2025.
Acara yang berlangsung penuh keterujaan ini menyaksikan kanak-kanak berusia antara enam hingga sembilan tahun dari pelbagai negeri – termasuk Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Melaka – memperagakan kehebatan mereka dalam tiga ujian utama: Ujian Kecergasan, Ujian Asas Menunggang, dan Ujian Menunggang di Litar Penuh.
Kebanyakan peserta mempamerkan penguasaan asas yang mengagumkan, sekali gus membuktikan potensi besar mereka untuk bersinar di peringkat lebih tinggi dalam arena perlumbaan dua roda tanah air.
Pusingan pertama kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 April ini dijangka menyajikan perlumbaan penuh aksi dan ketegangan apabila pelumba-pelumba cilik ini kembali ke litar untuk berentap secara kompetitif.
Sebagai penaja utama, RCB menegaskan komitmennya dalam menyokong pembangunan akar umbi sukan permotoran negara, selaras dengan matlamat melahirkan pelumba bertaraf dunia pada masa hadapan.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran RCB, Marcus Leong, program ini bukan sekadar medan perlumbaan, malah menjadi platform penting untuk membimbing generasi muda.
"Kami melihat inisiatif ini sebagai langkah penting dalam membentuk pelumba muda yang bertanggungjawab dan berkeyakinan.
"Kami percaya mereka bukan sahaja mampu menjadi pelumba hebat, malah ikon kepada rakan sebaya dengan menonjolkan budaya menunggang yang selamat dan profesional,” ujar beliau.