MELAKA - Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu memberi penjelasan berhubung isu klip rakaman audio mirip suara beliau seperti tular di media sosial.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu perlu menjelaskan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mendedahkan siapa dalang sebenar di sebalik penangkapan mantan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang direman ketika ini.
"Apakah benar kenyataan Ketua Menteri yang beliau tidak terlibat dalam penahanan ini seperti yang disampaikan?
"Satu perkara yang serius dan memalukan jika benar Ketua Menteri Melaka dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermaruah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu tular video berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial sehari selepas Ab Rauf membuat penafian beliau berkaitan penahanan mantan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa lalu.
Dalam video terbabit tertera kenyataan media individu itu dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu yang salah satunya didakwa mirip suara Ab Rauf yang mana dipenghujung klip video disebut individu bernama ‘Ali.'
Mohd Yadzil yang juga ADUN Bemban menggesa wakil rakyat itu segera membuat laporan polis jika benar beliau tiada sebarang kaitan dengan rakaman audio tersebut dan ini merupakan suatu perancangan terkutuk.
"Laporan ini penting agar pihak berkuasa dapat membuka kertas siasatan untuk membersihkan nama baik Ketua Menteri dari fitnah oleh individu yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.