PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim mendedahkan beliau menonton semula dokumentari ‘99’ terbitan Amazon Prime Video yang mengisahkan kejayaan treble bersejarah The Red Devils pada musim 1998/99 sebagai persediaan mental sebelum pertemuan suku akhir Liga Europa menentang Lyon.
Tindakan itu nyata memberi impak apabila United bangkit menewaskan Lyon 5-4 dalam aksi penuh dramatik di Old Trafford, sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 7-6.
United pada satu ketika ketinggalan 2-4 dan hampir tersingkir, walaupun Lyon bermain dengan 10 pemain.
Namun, dua jaringan lewat permainan oleh Kobbie Mainoo dan Harry Maguire dalam masa tambahan menyelamatkan pasukan tuan rumah.
"Saya tonton semula dokumentari ‘99’ untuk mendapatkan inspirasi menjelang momen kritikal seperti malam ini.
"Ketika kedudukan 2-4, ramai fikir ia sudah berakhir. Tapi di Old Trafford, segalanya mungkin,” kata Amorim kepada TNT Sports.
Pengendali dari Portugal itu turut mengakui keletihan pemain jelas ketara dan pasukan masih belum menunjukkan prestasi konsisten.
Namun katanya, kebangkitan luar biasa itu diyakini mampu membina keyakinan baharu dalam kalangan pemain.
"Kadang kita terlalu fokus pada taktikal dan fizikal, tapi momen seperti ini boleh ubah segalanya,” ujarnya.
United kini bersedia berdepan Athletic Bilbao di separuh akhir dan Amorim percaya sokongan luar biasa penyokong menjadi pemacu utama pasukan.
"Sorakan selepas gol Maguire dan Mainoo adalah yang paling kuat saya pernah dengar. Semua orang percaya sesuatu sedang berlaku di sini,” katanya.
United kini tinggal dua kemenangan untuk menamatkan kemarau trofi Eropah sejak kali terakhir menjulang Liga Europa pada 2017.