[VIDEO] Chong Wei dilantik Duta Sukan Johor kedua, sedia bimbing atlet muda

Iklan

LEGENDA badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei kini secara rasmi dilantik sebagai Duta Sukan Johor dan bakal memberi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan di negeri itu.

Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik berkata, beliau bukan sahaja menumpukan kepada sukan badminton, malah sedia berkongsi pengalaman sebagai atlet untuk semua bidang sukan.

Iklan
Iklan

"Saya akan bekerjasama dengan MSNJ dan lihat apa yang saya boleh bantu. Saya bukan sahaja duta untuk sukan badminton sahaja, tetapi semua sukan juga.

"Saya akan memberi galakan kepada generasi muda khususnya ahli sukan dan berharap sukan negeri ini boleh bergerak lebih maju ke hadapan," katanya.

Iklan
Mohd Hairi (kiri) menyerahkan Sijil Pelantikan Duta Sukan Johor kepada Chong Wei.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Datuk Wira Lee Chong Wei pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar; Pengarah MSNJ, Mohd Ekmaluddin Ishak; Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Iklan

Majlis MoU itu menjadikan sekali lagi sejarah tercipta di negeri ini apabila seorang lagi legenda sukan terkemuka dilantik sebagai Duta Sukan Johor selepas bekas pemain ragbi antarabangsa, Sonny Bill Williams, pada awal April.

Chong Wei merupakan seorang atlet badminton yang memegang kedudukan pemain nombor satu dunia selama 349 minggu dan meraih pelbagai pingat di kejohanan dunia serta tiga temasya Olimpik berturut-turut.

Chong Wei bergambar bersama atlet badminton Johor ketika Majlis Menandatangani Perjanjian antara MSNJ dan Chong Wei pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Ekmaluddin berkata, pendekatan dibawakan dalam pelantikan Duta Sukan Johor adalah bersifat kolaborasi yang mana akan mengenal pasti sukan berpotensi tinggi untuk dibangunkan.

"Kita akan lihat pelan pembangunan sukan negeri dan prestasi semasa atlet kita, kemudian kita akan susun program bersesuaian serta bengkel latihan pembangunan.

"Kami yakin Chong Wei mempunyai motivasi bukan sahaja untuk menjadikan seorang atlet yang baik tetapi menjadi insan yang baik juga," katanya.

Ujarnya, Chong Wei akan memainkan peranan penting dalam sesi motivasi bersama atlet muda, program kemasyarakatan dan promosi inisiatif pembangunan sukan negeri.

Menurut Mohd Ekmaluddin, pelantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada Chong Wei atas sumbangan luar biasa dalam sukan badminton dan dedikasinya dalam membimbing serta memberi inspirasi kepada generasi muda.