Selangor tambah peruntukan Insentif Haji Muassasah tahun ini

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor terus memperkasa kebajikan umat Islam dengan meningkatkan peruntukan Insentif Haji Muassasah berjumlah RM6 juta pada tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 6,000 jemaah muassasah bakal menerima insentif tunai RM1,000 seorang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, peruntukan itu sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat yang terpilih sebagai tetamu ALLAH.

"Sejak insentif ini diperkenalkan pada tahun 2022, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada 12,000 jemaah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau menjelaskan, permohonan insentif itu dibuka bermula 22 April hingga 25 Julai depan, khusus kepada jemaah muassasah yang merupakan pengundi berdaftar di Selangor.

Beliau berkata, permohonan boleh dibuat di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan membawa dua dokumen penting.

Iklan

"Dokumen itu ialah salinan jadual penerbangan haji muassasah tahun ini yang memaparkan KOD MUAS dan salinan pengesahan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sebagai pengundi Selangor," jelas beliau.

Menurut Amirudin, pelaksanaan insentif itu turut dijayakan menerusi kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Pusat Khidmat Masyarakat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN.

"Saya berharap inisiatif ini akan memudahkan perjalanan dan persiapan jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini,” ujar Amirudin.