RAWANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan siasatan berhubung isu bendera Jalur Gemilang yang tular baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan setakat ini 42 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dan siasatan masih diteruskan.
"Siasatan masih lagi berjalan dan kita sudah menerima sebanyak 40 laporan polis. Kita telah memanggil seramai 42 saksi dan akan ada lagi saksi yang akan dipanggil," ujar Ayob Khan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Balai Polis Country Homes, yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Ayob Khan turut mengesahkan ketua editor dan timbalan ketua penyunting akhbar terbabit ditahan pada Khamis berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu telah dibebaskan selepas diambil keterangan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut memberikan perkembangan terkini mengenai siasatan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
Beliau memaklumkan, siasatan masih dijalankan dari sudut kecuaian atau khianat dan kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sedang diteruskan.
"Dari pihak polis kita masih menjalankan siasatan dari segi kecuaian atau khianat. Satu lagi siasatan menerusi DOSH masih juga berjalan.
"Kita akan tunggu laporan dalam tempoh seminggu lagi untuk mengeluarkan laporan awal mengenai pertemuan di tempat kejadian. Siasatan di lapangan juga hampir selesai selepas kita menemui paip yang meletup.
"Kajian forensik sedang dijalankan oleh pasukan forensik DOSH, PDRM dan bomba. Jadi kita tunggu dalam tempoh lebih seminggu ini untuk perkembangan lanjut," jelas Hussein.