SPRM tubuh pasukan khas pantau peruntukan projek negeri, daerah

Iklan
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya di Kementerian Ekonomi.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi mengambil langkah mengekang ketirisan dengan menubuhkan pasukan khas memantau pelaksanaan projek-projek kementerian itu di peringkat negeri dan daerah.

Menurut kenyataan SPRM, langkah itu dibuat susulan kesepakatan antara kedua-dua pihak untuk memperkukuh ketelusan serta mempertingkatkan tatakelola dalam pengurusan peruntukan projek pembangunan demi kepentingan rakyat.

Iklan
Iklan

"Pasukan khas tersebut akan berperanan meneliti secara menyeluruh segala aspek berkaitan penyaluran bajet dan pelaksanaan projek.

"Ia termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut serta siasatan terhadap kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya pada Khamis.

Iklan

Jelas kenyataan itu, kerjasama antara SPRM dan Kementerian Ekonomi turut merangkumi pertukaran maklumat berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kepada setiap negeri dan daerah.

"Pasukan khas ini juga akan mengenal pasti kelemahan dalam tatacara pelaksanaan serta menambah baik prosedur sedia ada.

Iklan

"Ia dilaksanakan bagi memastikan pengurusan bajet, pemantauan dan pelaksanaan projek berjalan dengan lebih cekap dan berkesan," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masa sama mengalu-alukan komitmen dan keterbukaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan pelaksanaan projek-projek yang diluluskan oleh kementerian berkenaan.