JENGKA – Detik bersejarah tercipta buat empat pasangan pengantin saudara baharu dalam kalangan masyarakat Orang Asli apabila diraikan dalam satu majlis sempena sambutan Aidilfitri anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka di sini pada Khamis.
Majlis berlangsung meriah di pekarangan pejabat PAID menyaksikan tiga pasangan suku Jakun dan satu pasangan suku Semaq Beri dinikahkan sambil disaksikan ahli keluarga masing-masing.
Pasangan terbabit turut berarak selepas selesai dinikahkan dan merakam gambar kenangan sempena majlis bersejarah tersebut.
Bagi pasangan suku Jakun, Faizal Nersa, 21, dan Yuhanis Ali, 19, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila sah bergelar suami isteri serta diraikan dalam majlis itu.
"Ia menjadi kenangan istimewa, apatah lagi diraikan ketika Aidilfitri. Kami berterima kasih atas usaha pihak yang membantu menjayakan majlis ini,” kata Faizal.
Faizal yang bekerja sendiri memeluk Islam ketika berusia 17 tahun manakala isterinya baharu memeluk Islam beberapa bulan lalu.
Sementara itu, Kadi Daerah Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah memaklumkan, program berkenaan mendapat kerjasama Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Persatuan Ibu Tunggal, Pusat Aktiviti Warga Emas Bandar Jengka dan Persatuan Guru KAFA Wilayah Jengka.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri kali ini tampil kelainan apabila buat julung kalinya diselitkan majlis akad nikah saudara baharu selepas empat tahun berturut-turut dianjurkan.
"Kita mengenal pasti pasangan terlibat dan diraikan secara percuma menerusi tajaan termasuk pelamin, jamuan serta sumbangan PAID Jengka, NGO dan individu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sebanyak 38 masjid terlibat dalam penyediaan pelbagai juadah sempena majlis berkenaan.
"Mereka dibahagikan tugas memasak hidangan yang diputuskan bagi jamuan tahun ini,” katanya sambil memaklumkan majlis itu berjaya menarik kehadiran lebih 4,000 pengunjung.