SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) mencuri pakaian dalam wanita di Kampung Baru Rasah di sini ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir ke balai polis kira-kira jam 9 pagi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tanda tanya seorang wanita mengenai pakaian dalamnya yang sering kali hilang di ampaian akhirnya terjawab apabila CCTV rumahnya berjaya merakam perbuatan seorang lelaki.
Dalam kejadian terbaharu pada Selasa, lelaki terbabit dilihat memberhentikan lorinya di tepi rumah mangsa sebelum melompat masuk ke dalam kawasan rumah dan melakukan perbuatan tersebut.
Mangsa mendakwa, kejadian kehilangan pakaian dalam di rumahnya bukanlah pertama kali berlaku.
"Masa mendiang nenek masih hidup, pakaian dalam dia yang dijemur di garaj pun pernah hilang, tapi ketika itu kami tak ambilnya secara serius.
"Saya mula perasan bila tengok pakaian dalam saya dan kakak yang dijemur kerap hilang dan pernah sehingga tujuh helai sekali gus," katanya.