TAPAH - Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 1,000 tetamu di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah di sini pada Khamis.
Kehadiran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja LPP.
Mohamad berkata, jamuan hari raya itu mendapat sambutan baik terutama daripada agensi dan masyarakat setempat di daerah Batang Padang.
"Jamuan anjuran PPK Tapah ini mendapat sambutan baik terutama kehadiran anak-anak yatim yang mana kita memberi sedikit sumbangan kepada mereka dalam meraikan bulan Syawal ini," katanya ringkas ketika ditemui.
Hadir sama, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim dan Pengarah LPP Perak, Dzulfadli Johan.
Pelbagai juadah enak disajikan antaranya kelamai yang merupakan makanan tradisi popular masyarakat keturunan Rao, lemang, ketupat, rendang, nasi impit, nasi tomato, kambing golek selain aneka kek sebagai pencuci mulut.
Pada majlis tersebut, Mohamad turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan serta wang raya kepada 35 orang kanak-kanak daripada Madrasah Tarbiyah Islamiyah, Sungai Gading di sini.