PASIR PUTEH - Rakyat negeri ini dijangka boleh pulang beraya menaiki Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila pengangkutan awam itu akan memulakan operasi pada Januari 2027, sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas yang membelenggu sejak sekian lama.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.
"Sekali lagi raya pada 2027 sudah boleh guna untuk balik raya.
"Kita akan mulakan operasi percubaan pada Jun tahun hadapan dan dijangka beberapa gerabak penumpang akan tiba hujung tahun ini," katanya ketika sidang akhbar sempena lawatan kerja rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ke tapak Stesen Pasir Puteh di Jalan Cherang Tuli di sini pada Khamis.
Menurut beliau, kemajuan kerja sehingga Mac lalu berada pada tahap 81 peratus untuk keseluruhan jajaran ECRL dari Kota Bharu hingga ke Gombak, Selangor.
"Setakat ini Terengganu capai tahap kemajuan kerja 90 peratus, Kelantan (89 peratus) dan Pahang (86 peratus)," katanya.
Mengulas lanjut, Darwis berkata, pembinaan dua stesen ECRL di negeri ini iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh dijangka siap seperti dirancang menjelang suku pertama 2026.
Ujarnya, Stesen Pasir Puteh melibatkan keluasan tapak seluas 17 hektar juga bakal menerapkan konsep reka bentuk unik dan bercirikan kebudayaan tempatan.
"Reka bentuknya diilhamkan 'Tanjak Agong' melambangkan simbol perpaduan dan kedaulatan negara.
"Unsur ini mencerminkan aspirasi nasional dalam projek infrastruktur strategik seperti ECRL," katanya.
Ujarnya, pada masa sama, reka bentuk stesen turut mengetengahkan seni dan budaya tradisional Kelantan melalui penggunaan motif tempatan dan elemen hiasan, sejajar identiti negeri serta usaha memartabatkan warisan budaya di mata pengunjung.
Menurut Darwis, selain itu, Stesen Pasir Puteh akan dilengkapi kemudahan seperti tempat letak kereta, lokasi mengambil dan menurunkan penumpang, laluan pejalan kaki berbumbung serta pusat kitar semula.