Polis buru dua dalang utama kes curi kabel ERL

Iklan
Norhizam

SERDANG - Polis masih mengesan dua suspek yang disyaki dalang utama dalam kejadian kecurian kabel Express Rail Link (ERL) KLIA Ekspres dan KLIA Transit di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil, Sepang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang sudah ditahan minggu lalu mendakwa menerima arahan daripada dua suspek yang masih bebas.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan, dua suspek yang masih bebas itu dipercayai merupakan perancang utama atau ‘mastermind’ dalam kejadian berkenaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di sini pada Rabu.

Norhizam berkata, tiga suspek yang ditahan masih belum didakwa dan mereka akan dituduh sebaik sahaja siasatan selesai.

Iklan

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan yang menyebabkan gangguan perkhidmatan ERL.

"Berdasarkan siasatan, kita percaya motif suspek mencuri kabel terbabit adalah untuk dijual bagi mendapatkan wang berikutan nilai kabel berkenaan yang tinggi," katanya.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis menahan tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mencuri kabel perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil.