BAGI banyak rakyat Malaysia, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah adalah ‘bapa’ kepada semua rakyat Malaysia. Sifat lemah lembut, bertimbang rasa dan bersopan santun adalah kualiti istimewa Pak Lah.
Beliau bukan ahli politik yang dikenal kerana kontroversi, suka bermusuh atau cari sebab memporak-perandakan.
Biarlah sejarah menilai sumbangan Pak Lah. Bagi rakyat Malaysia yang berada 22 tahun di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, kemasukan Pak Lah tentulah ibarat angin segar pada pagi hari.
Mereka perlukan perubahan. Rakyat sedar jasa-jasa Tun Dr Mahathir. Tapi rakyat juga tahu Malaysia perlukan seorang yang dapat menenangkan keadaan, beri peluang kita menilai diri sambil mengurangkan hajat untuk berbuat yang hebat dan besar sahaja.
Oleh sebab itu rakyat beri mandat luar biasa pada Pak Lah dalam pilihan raya umum 2004.
Bagi Awang, Pak Lah pemimpin yang tepat pada masanya. Beliau banyak buat reformasi institusi yang selama ini diabaikan.
Beliau bagi lebih banyak keterbukaan pada media dan tubuh pelbagai institusi bagi perkuat soal integriti dan tadbir urus. Beliau juga pastikan kebebasan SPRM.
Semoga Pak Lah damai abadi bersama roh mereka yang beriman. Kita akan sentiasa mengingat jasa-jasa Allahyarham. Al Fatihah.