Jasa Abdullah kukuhkan perkhidmatan statistik negara

Iklan
MOHD UZIR

SHAH ALAM – Sumbangan besar bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pembangunan modal insan dan pengukuhan institusi negara akan terus dikenang, khususnya dalam memperkasa perkhidmatan statistik negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, penekanan tinggi diberikan oleh beliau terhadap pembinaan kapasiti institusi serta pembentukan tenaga kerja berintegriti sebagai tonggak utama pembangunan nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan itu turut memberi kesan langsung kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Antara legasi terbesar beliau ialah inisiatif memperkukuh struktur perjawatan DOSM yang sebelum ini hanya bergantung kepada tenaga sementara seperti Penghitung Tingkatan Rendah dan Penghitung Tingkatan Biasa bagi tugasan lapangan.

Iklan

"Namun bermula 1990, hasil iltizam kepimpinan Abdullah, perjawatan sementara mula diserap secara berperingkat sebagai Pembantu Perangkaan tetap sehingga tahun 1993, sekali gus memberi jaminan kerjaya kepada petugas statistik.

"Saya secara peribadi bersyukur kerana berpeluang membantu mereka yang belum memiliki kelayakan matematik pada ketika itu, termasuk memberi tunjuk ajar berkenaan peperiksaan khas dan persediaan temu duga,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Tambah Mohd Uzir, langkah transformasi itu bukan sahaja memperkukuh profesionalisme dalam penyusunan dan pelaporan data, tetapi turut memberi pengiktirafan terhadap kepentingan perkhidmatan statistik dalam pembangunan negara.

Malah katanya, semasa era kepimpinan Allahyarham juga menyaksikan penekanan serius terhadap penstrukturan semula DOSM.

Sebuah jawatankuasa khas turut ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia serta Timbalan Ketua Perangkawan, manakala beliau sendiri dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penstrukturan DOSM 2004.

"Kajian pakar termasuk dari Mr Derek Blade dan syarikat perunding PwC mengesyorkan penambahan anggota serta pemodenan sistem ICT bagi meningkatkan keupayaan operasi.

"Hasilnya, pada 2007, kerajaan meluluskan penubuhan 10 pejabat operasi serta pewujudan 1,033 jawatan tetap, pencapaian yang menjadi sejarah penting dalam landskap statistik negara,” jelasnya.

Ujar beliau, legasi Abdullah diteruskan menerusi inisiatif Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang selari dengan kemajuan teknologi dan cabaran data raya, antaranya penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta Pejabat Pengurusan Perubahan (CMO).

"Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham Abdullah akan terus terpahat dalam sejarah pembangunan negara, khususnya dalam bidang statistik. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.