KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai tokoh 'Mr Clean' sebenar yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
Menurut beliau, pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan menyentuh jiwa rakyat Malaysia yang mengenang kepimpinan berteraskan nilai integriti serta kesederhanaan.
"Saya menerima khabar duka pemergian Allahyarham sebaik tiba di luar negara malam ini, bersama rakan-rakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
Hamzah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Mengimbas kenangan bersama Allahyarham, Hamzah berkata, beliau pernah menerima ijazah amalan ilmu agama daripada Pak Lah dalam satu pertemuan peribadi selepas solat berjemaah di kediaman tokoh berkenaan.
"Pak Lah meminta saya duduk berdepan dengannya dan beliau mengijazahkan saya dengan ilmu agama sebagai amalan.
"Ia satu pengalaman yang cukup bermakna dan tidak akan saya lupakan,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan Allahyarham dalam memperkenalkan dasar Islam Hadhari, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemerkasaan industri halal, sektor pertanian serta pembangunan modal insan akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negara.
"Rekod pencapaian luar biasa beliau dalam Pilihan Raya Umum 2004 juga sukar ditandingi oleh mana-mana Perdana Menteri.
"Pak Lah yang saya kenali benar-benar merupakan Mr Clean,” katanya.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara, di sini pada jam 7.10 petang semalam.
Berita pemergian beliau mengundang rasa dukacita dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai lapisan.