Pak Lah meninggal dunia di IJN

Iklan
Tun Abdullah Ahmad Badawi.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau pada Isnin.

Iklan
Iklan

Berdasarkan maklumat sumber terdekat dengan keluarga Allahyarham Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dimaklumkan sudah dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad atas masalah sakit tua dihadapinya sebelum ini.

Kesihatan Pak Lah yang mengalami demensia merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah beliau tidak lagi dapat mengingati nama dan wajah ahli keluarganya.

Iklan

Menyorot sejarah kehidupan Pak Lah, beliau dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Allahyarham memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan

Sepanjang pentadbirannya, Abdullah memperkenalkan konsep Islam Hadhari dan menekankan pembangunan modal insan serta integriti dalam pentadbiran.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Abdullah berkhidmat dalam pelbagai portfolio termasuk menteri luar dan menteri keselamatan dalam negeri.

Namun, beliau pernah dipecat sebagai menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1987. Allahyarham tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga tahun 1991.

Begitu pun, Allahyarham kembali dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Dr Mahathir pada tahun 1999.

Abdullah meninggalkan seorang isteri, Tun Jeanne Abdullah dan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu dengan Allahyarhamah Endon Mahmood iaitu Tan Sri Kamaluddin dan Nori.

Anak perempuannya, Nori mendirikan rumah tangga dengan Khairy.