TAPAH - Lebih 50 program dengan pelbagai pengisian digerakkan Pemuda UMNO bagi menarik sokongan anak muda terhadap calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi berkata, pelaksanaan program itu melibatkan semua 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk tiga di kawasan masyarakat Cina dengan konsep yang lebih santai.
"Antara program yang dirancang termasuk pertandingan futsal, pertandingan memancing dan permainan rakyat.
"Kita beri kebebasan setiap PDM menyesuaikan jenis program mengikut minat dan keperluan anak-anak muda di kawasan.
"Pendekatan ini bertujuan memberi ruang kepada anak-anak muda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti yang mereka gemari selain memastikan penglibatan yang menyeluruh dan berkesan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, selain program berskala kecil di peringkat PDM, pihaknya turut merancang penganjuran program berskala besar seperti Jom Healing dan konsert khas untuk menarik penyertaan anak muda.
Selain itu katanya, Pemuda UMNO akan mewujudkan ‘port lepak’ di setiap PDM yang menjadi tempat anak muda berkumpul pada waktu malam, bagi membolehkan mereka berinteraksi sesama sendiri dan bersama jentera pemuda.
"Namun begitu, mesej kempen dan penerangan berkenaan calon serta parti tetap akan disampaikan dalam bentuk yang santai," katanya.
Dari segi media sosial, Fahmi menegaskan, kempen digital dipergiatkan untuk mendekati pengundi muda yang berada di luar kawasan.
"Minggu pertama kempen ini, tumpuan adalah untuk menyantuni anak muda di kampung-kampung.
"Kita juga akan menggunakan sistem MyUMNO untuk mengurus data pengundi secara lebih teratur," katanya.
Beliau berkata, kekuatan jentera Pemuda UMNO mendapat sokongan penuh daripada Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pemuda negeri serta Exco Angkat yang telah pun ditempatkan di semua PDM.
"Setiap PDM kini mempunyai wakil dari Pemuda Negeri, Pemuda UMNO Malaysia serta Pemuda Bahagian bagi memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar.
"Insya-ALLAH, dengan usaha bersepadu ini, kita yakin Pemuda UMNO dapat memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Ayer Kuning," katanya
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari berkempen bermula 12 April dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.