JERANTUT – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu melanggar tiang lampu dalam kejadian di Kilometer 29, Jalan Jerantut–Maran berhampiran Felda Sungai Tekam Getah di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Fitri Haziq Mohd Fadir, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR seorang diri dari arah Jerantut menuju ke Maran.
"Siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang lampu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta patah peha kiri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.