Ustaz Yusri pertahan jentera Pemuda UMNO

Iklan
Mohamad Yusri (duduk, dua dari kanan) bersama Hang Soon menyantuni penduduk dan pengundi Kampung Baharu Coldstream di Bidor pada Ahad.

TAPAH - Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir mempertahankan jentera Pemuda UMNO susulan dakwaan wujud pergeseran dan boikot dalam pemilihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Mohamad Yusri berkata, sejak awal sayap parti tersebut telah bergerak sebagai satu pasukan dalam membantu gerak kerja kempen di setiap kawasan dan peringkat.

Iklan
Iklan

"Tiada masalah. Mereka memang ada membantu dan turun sebagai satu pasukan yang sangat hebat," katanya ketika ditemui pemberita ketika turun padang berkempen di Kampung Baharu Coldstream di Bidor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon.

Iklan

Sebelum ini, timbul dakwaan terdapat segelintir ahli sayap Pemuda UMNO kecewa kerana wakil mereka, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi tidak dipilih untuk mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Perkara itu turut menarik perhatian Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kemudiannya menafikan wujud unsur boikot kalangan jentera Pemuda terhadap kempen calon BN.

Iklan

Sementara itu, Mohamad Yusri berkata, masuk hari kedua kempen, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pengundi termasuk masyarakat Cina.

Katanya, kebanyakan mereka berkongsi aduan dan masalah setempat untuk diberi perhatian termasuklah yang melibatkan kos sara hidup dan bantuan kebajikan.

"Mana yang boleh dengar, kita dengar dan mana yang boleh kita catat, kita akan rekodkan untuk dibawa kepada pihak-pihak berkaitan," katanya.