Skandal rasuah Sabah: Tak wajar Azam Baki dahului siasatan

Iklan
Mohd Azis dan Azam Baki

KOTA KINABALU - Tidak wajar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendahului siasatan berhubung skandal rasuah perlombongan mineral melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, meskipun Warisan menghormati peranan SPRM dalam menjalankan siasatan, namun Azam tidak sepatutnya membuat pengumuman berhubung tahap kesalahan atau penglibatan individu tertentu.

Iklan
Iklan

"Peranan beliau adalah untuk menyiasat, bukannya mengumumkan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

"Walaupun hasil siasatan menunjukkan seseorang itu tidak bersalah atau sebaliknya, saya percaya perkara tersebut seharusnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneliti hasil siasatan, membuat penilaian sewajarnya dan mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Beliau mengulas kenyataan Azam yang menyatakan keyakinan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak terlibat dalam skandal berkenaan.

Jelasnya lagi, tindakan mendahului siasatan boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM, seolah-olah agensi itu bertindak sebagai penyiasat, pendakwa dan hakim dalam masa yang sama.

Iklan

Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu turut merujuk kepada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini, di mana agensi yang sama menyatakan tiada sebarang salah laku, tetapi akhirnya boleh dilihat apa yang berlaku selepas itu.

"Jika saya boleh memberi sedikit saranan kepada SPRM, kekal pada peranan sebagai badan penyiasat dan jangan melangkaui batas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azis merayu agar SPRM menunjukkan ketelusan dan konsistensi dalam kaedah siasatan yang dijalankan.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi tanggapan berbeza apabila beliau yakin dengan siasatan SPRM terhadap isu tersebut.

"Saya cukup yakin dengan siasatan pihak SPRM dan saya yakin SPRM akan terus menyiasat serta memanggil mereka yang terlibat dalam video tersebut.

"Saya juga percaya bahawa siasatan telus akan dilakukan dan sekiranya ada unsur rasuah, mereka yang terlibat perlu diambil tindakan,” katanya.