KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan khas ke atas penjaja warga asing tanpa lesen di Jalan Leboh Pudu dan Jalan Tun Tan Siew Sin dalam satu operasi di ibu negara.
Sebanyak tujuh tindakan sita dibuat di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan barangan sitaan dibawa ke stor sitaan di Taman Miharja untuk direkod dan didokumentasi.
Iklan
Iklan
Menurut DBKL, operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan pematuhan undang-undang dan menjaga kesejahteraan warga kota.
"Lokasi-lokasi tumpuan lain juga akan terus dipantau secara berkala bagi mengelakkan aktiviti perniagaan haram yang boleh mengganggu ketenteraman dan kebersihan ibu kota," tegasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Sabtu.
Orang awam digalakkan untuk menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkenaan aktiviti penjajaan haram melalui pautan rasmi: https://adukl.dbkl.gov.my.