'Saya akan ulas drama Bidaah dengan terperinci’ - Zulkifli

Iklan
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengulas mengenai drama 'Bidaah' dalam masa terdekat.

SHAH ALAM – Terdapat dua perkara tidak tepat mengenai hakikat sebenar tasawwuf dan terekat yang dipersembahkan menerusi drama bersiri 'Bidaah'.

Iklan
Iklan

Oleh demikian, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau akan mengulas mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Saya ambil keputusan untuk menonton drama yang mendapat liputan meluas di Malaysia dan negara jiran iaitu 'Bidaah'.

Iklan

"Ada dua perkara utama yang membuatkan saya berfikir panjang (iaitu) kesesuaian tajuk drama ini dan gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar tasawwuf dan tarekat menurut al-Quran dan al-Sunnah.

"Insya-ALLAH saya akan ulas dengan terperinci dalam masa terdekat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Iklan

Siri Bidaah yang mengangkat tema ajaran sesat lakonan Faizal Hussien menarik perhatian umum apabila mengetengahkan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan.

Dalam pada itu Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pali Yahya dan Erma Fatima berhubung penghasilan drama tersebut.

Sementara itu menjawab pertanyaan orang ramai di ruangan komen, beliau menjelaskan, ucapan tahniah diberi berikutan kerja penghasilan drama dan filem yang disifatkan bukan kerja mudah.

"Saya tidak mampu. Sebahagian besar kita tak mampu. Selain itu, apa jua kaedah penyampaian sama ada salah atau betul dari sudut persepsi dan tanggapan penonton, saya yakin niatnya baik.

"Bertitik tolak dari situ, kita nilai dengan adil, bukan nilai dengan emosi," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai untuk bersabar berhubung ulasan penuhnya berkenaan drama bersiri tersebut.

"Sebelum ada yang beri telahan awal seolah-olah saya nak menidakkan realiti segelintir masyarakat kita yang terikut ajaran sesat, harap bersabar dan tunggu ulasan penuh saya,” katanya.