De Bruyne barakan kebangkitan Manchester City

Iklan
De Bruyne tenang ketika mengetuai kebangkitan Manchester City ketika menewaskan Crystal Palace, 5-2 dalam aksi EPL di Etihad, Foto: AFP

DIBARAKAN Kevin De Bruyne, Manchester City melakar kebangkitan ketinggalan dua gol untuk membenamkan Crystal Palace 5-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, pada Sabtu.

Tiga mata diraih The Citizens kendalian Pep Guardiola ke atas The Eagles bimbingan Oliver Glasnersekali gus memperkukuhkan lagi usaha penyandang juara itu merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan yang luar biasa dan penuh insiden itu, Eagles melonjak berada di depan dengan dua gol awal menerusi Eberechi Eze minit kelapan dan Chris Richards minit ke-21.

Eagles berpeluang melebarkan jaringan namun sentuhan Eze dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.

Iklan

De Bruyne yang melakukan penampilan pertamanya di Etihad sejak mengesahkan akan meninggalkan City selepas 10 tahun gemilang mencetuskan kebangkitan yang sungguh mengagumkan.

Pemain Belgium itu terlebih dahulu merapatkan jurang menerusi sepakan percuma pada minit ke-31 separuh masa pertama, sebelum terlibat dalam bantuan gol penyamaan Omar Marmoush minit ke-36.

Iklan

De Bruyne sekali lagi menjadi arkitek apabila beliau mengumpan bola kepada Mateo Kovacic minit ke-47 selepas separuh kedua bermula untuk meletakkan City di depan.

James McAtee yang dalam penampilan sulung liga untuk City melebarkan kelebihan menerusi bantuan gol yang menakjubkan hasil Ederson minit ke-56.

Nico O’Reilly kemudian turut juga mencatatkan nama sebagai penjaring, menjaringkan gol pertama liganya minit ke-79 untuk melengkapkan kemenangan terindah City di depan penyokong sendiri.

Kemenangan itu melonjakkan semula anak buah Guardiola ke tangga keempat kedudukan liga dengan baki enam perlawanan musim ini.