SUBANG JAYA – Seramai 10 individu membabitkan pemaju dan kontraktor merupakan antara 179 saksi yang telah diambil keterangan berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights di sini pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah keseluruhan rakaman percakapan yang direkodkan sehingga Jumaat, sebanyak 138 rakaman melibatkan mangsa.
Selain itu, katanya, rakaman percakapan turut membabitkan agensi petugas (1), pihak Petronas (4), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) (2), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (1).
"Seorang Profesor Madya dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut dirakam percakapan, selain saksi polis (8) dan lain-lain (14),” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 769 laporan polis telah diterima berkaitan insiden tersebut sehingga jam 6 petang Jumaat.
Menurutnya, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights yang masih beroperasi dan menempatkan 301 mangsa daripada 78 keluarga.
"Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan tinjauan udara pada waktu malam di lokasi 'Ground Zero'.
"Ia bagi membantu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) memantau kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan bencana, selain merakam visual dan gambar tinjauan udara dalam radius 500 meter," katanya.
Mengulas mengenai penugasan di lokasi, Hussein berkata, seramai 539 anggota daripada 13 agensi terlibat dalam Operasi Op Gas Putra Heights 2025.
"Pasukan Gerakan Am (PGA) masih melakukan kawalan keselamatan 24 jam di kawasan terjejas bagi memastikan harta benda yang ditinggalkan mangsa berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 11 agensi sahabat teknikal termasuk pasukan siasatan PDRM masih giat menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan serta penilaian di kawasan terjejas.
Antara agensi lain yang terlibat termasuklah Petronas, Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), MBSJ, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Sdn. Bhd. (Agensi KPKT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sementara itu, Hussein turut mengadakan lawatan kebajikan dan menyampaikan sumbangan kepada empat anggota polis yang tinggal di kawasan Kampung Kuala Sungai Baru yang turut terjejas akibat insiden tersebut.
"Dalam lawatan pemantauan di kawasan kampung itu, saya sampaikan sumbangan daripada Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial (TKSS) Polis Selangor kepada empat keluarga anggota polis yang terlibat.
"Dua anggota bertugas di IPD Subang Jaya, seorang di IPD Petaling Jaya dan seorang lagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman,” katanya.