Tarif AS jejas hubungan dagangan, pelaburan Malaysia-China

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama pada Sabtu. Foto Bernama

BACHOK - Pelaksanaan tarif import timbal balik Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump terhadap rakan dagang boleh menjejaskan hubungan dagangan dan pelaburan antara Malaysia-China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu boleh menggugat kestabilan ekonomi serantau termasuk Malaysia yang juga sebuah negara eksport.

Iklan
Iklan

"Apabila tarif tinggi dikenakan kepada China, ini bermakna hubungan dagangan dan pelaburan kita dengan China boleh terjejas.

"Kita ini merupakan negara eksport dan dagang, apabila AS menetapkan tarif tinggi kepada China sudah tentu kita juga akan terkesan,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Sabtu lalu.

Iklan

Rakyat Kelantan yang memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 pada Sabtu.

Anwar memberitahu, sehubungan itu, Presiden China, Xi Jinping dijadual mengadakan lawatan negara ke Malaysia dalam beberapa hari lagi dan isu tarif merupakan antara perkara yang akan dibincangkan.

Iklan

Pada masa sama, kata beliau, Malaysia bagaimanapun kekal tenang dan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menghadapi situasi tersebut.

"Kami hubungi semua pemimpin negara ASEAN dan syukur, Malaysia serta beberapa negara lain terselamat daripada peningkatan kadar tarif tersebut.

"Namun begitu, China terkesan teruk apabila AS mengenakan tarif setinggi 125 peratus ke atas import dari negara itu,” katanya.

Trump sebelum ini mengenakan tarif balas secara besar-besaran sebagai tindak balas terhadap amalan perdagangan negara lain, namun menangguhkan pelaksanaan penuh selama 90 hari ke atas kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan dimulakan.