KUANTAN – Seorang penyelia ladang maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu jalan di berhampiran Ladang Astral Asia Plantation, Jalan Felda Bukit Sagu, pada Sabtu.
Mangsa, Mohd Zaki Ismail, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa menaiki motosikal jenis Honda AFP 110 dari arah Taman Impian menghala ke arah Bukit Sagu lapan pada jam 6.45 pagi.
"Apabila perjalanan sampai ke tempat kejadian, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.