Remaja maut rempuh MPV buat pusingan U

Iklan
Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Alur Tuman, di Marang pada malam Jumaat.

MARANG - Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 26.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Alur Tuman di sini pada malam Jumaat.

Nahas berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan mangsa, Muhammad Fahrin Fiqri Salleh, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika MPV jenis Toyota Alphard dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dari arah Marang Beach Resort telah membuat pusingan U dari bahu kiri jalan.

"Secara tiba-tiba motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa datang dari arah belakang dan melanggar bahagian sisi belakang kanan MPV terbabit.

Iklan

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat," katanya di sini pada Sabtu.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai berasal dari Kampung Pulau Kerengga, Marang.

Iklan

Mohd Sofian berkata, pemandu MPV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan.

"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 09-6182222," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas serta berhati-hati ketika memandu.