KUALA LUMPUR - McDonald’s Malaysia buat julung-julung kalinya menganjurkan Rumah Terbuka Raya Mekdi sebagai usaha menceriakan suasana perayaan dan tanda penghargaan pelanggan di seluruh negara.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada teras utama syarikat dalam memastikan hubungan erat dengan masyarakat terus diperkukuhkan.
Menurutnya, penganjuran rumah terbuka itu juga menjadi simbolik kepada usaha McDonald’s menyantuni komuniti yang dianggap sebagai keluarga besar jenama makanan segera tersebut.
"Rumah Terbuka Raya Mekdi merupakan inisiatif yang julung-julung kali kami adakan mulai tahun ini dengan meraikan komuniti, restoran dan pelanggan-pelanggan kami.
"Kami sangat teruja dan gembira dengan sambutan diberikan pelanggan-pelanggan setia yang terus memberi sokongan selama ini," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Raya Mekdi di McDonald’s Pantai Central Park, Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Rumah terbuka itu akan berlangsung di lima lokasi bermula di McDonald’s Pantai Sentral Park, diikuti Bandar Seri Damansara, Kuala Lumpur (12 April), Indera Mahkota, Pahang (18 April), Bandar Baru Uda, Johor (19 April) dan Tabuan Jaya, Sarawak (26 April).
Beliau menambah, selain makanan percuma, pelbagai aktiviti menarik untuk pelbagai peringkat umur turut dianjurkan bagi memeriahkan suasana termasuk persembahan artis dan acara hiburan keluarga.
Melati memaklumkan, tetamu dihidangkan dengan 1,500 set McDonald’s Foldover ayam secara percuma di setiap lokasi sebagai tanda penghargaan restoran terkenal terbabit kepada komuniti setempat.
Dalam perkembangan sama, kongsi Melati, pihak McDonald’s menjangkakan kehadiran pengunjung melebihi 1,500 orang berikutan sambutan hangat ditunjukkan pelanggan.
Pada rumah terbuka itu, tetamu turut berpeluang membawa pulang hadiah percuma seperti baucar apabila mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Sebagai sebahagian daripada nilai teras McDonald's Malaysia, program komuniti terus diberi penekanan, di mana setiap tahun, lebih 10,000 inisiatif kemasyarakatan dilaksanakan untuk memberi kembali kepada masyarakat setempat.
Sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, McDonald's Malaysia turut mengadakan program Kongsi Rezeki Ramadan yang menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh serta pengagihan Kotak Rezeki kepada golongan memerlukan.
McDonald's Malaysia juga bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) untuk menjemput anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Darul Sakinah untuk memeriahkan Rumah Terbuka Raya Mekdi.
Selain Rumah Terbuka Raya Mekdi, McDonald's Malaysia turut melaksanakan beberapa inisiatif sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, termasuk pemberian kopi percuma di Pandu-Lalu dan hidangan percuma pada hari pertama dan kedua Raya di semua cawangan McDonald's di seluruh negara.
Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai tawaran istimewa melalui aplikasi McD dengan promosi Raya, serta suasana perayaan yang dihiasi di 26 restoran McDonald's terpilih.