'Pendidikan seksual tidak boleh diambil mudah, laksanakan bersama pendekatan agama'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu lalu. Gambar kecil: Nik Ahmad Sufian

KOTA BHARU - Pendedahan Polis Kelantan berkaitan kes rogol yang membimbangkan di negeri ini memberi isyarat pendidikan seksual dalam kalangan murid-murid sekolah rendah tidak boleh diambil mudah.

Ketua Jabatan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Nik Ahmad Sufian Burhan berkata, langkah itu perlu digerakkan secara kolektif bersama pendekatan agama supaya generasi masa hadapan tidak mudah terjebak dengan sumbang mahram.

Iklan
Iklan

"Bagi saya pendedahan itu (sumbang mahram) menggambarkan betapa rapuhnya nilai kekeluargaan dalam sesetengah komuniti.

"Saya bimbang langkah segera tidak diambil berkemungkinan besar generasi masa hadapan akan berdepan dengan krisis sosial yang lebih parah dan membimbangkan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut beliau, pengawalan penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak termasuk remaja perlu diberikan keutamaan sebagai langkah pencegahan.

Ujarnya, kanak-kanak perlu dilindungi bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa kepada kegagalan sistem sosial yang sepatutnya menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, istilah 'suka sama suka' tidak boleh diterima kerana dari sudut undang-undang kanak-kanak tidak mampu memberikan persetujuan yang sah dalam hubungan seksual.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan yang mana jumlahnya meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.

Kebanyakan mangsa rogol dan pelaku merupakan kanak-kanak berusia 10 tahun bagi perempuan dan 11 tahun bagi lelaki sehingga ada yang mengandung.

Selain itu, kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan juga membimbangkan yang mana kebanyakannya membabitkan kes suka sama suka.