MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita menjadi mangsa cabul seorang lelaki apabila cuba ditarik masuk ke semak ketika sedang joging di Taman Rekreasi Bukit Serindit di sini pada Khamis.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 11 malam.
"Saya ada dimaklumkan ada berlaku kes cabul ketika mangsa tengah joging. Dia dipeluk dari belakang, ditekup mulut dan cuba ditarik ke dalam semak.
"Nasib ada orang lalu tolong," katanya menerusi hantaran Facebook rasminya pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 27 tahun itu telah pun ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian jam 12.05 tengah malam pada hari sama.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kes berlaku pada jam 10 malam ketika mangsa berusia 20 tahun sedang bersenam di taman rekreasi berkenaan.
"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati dia bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah.
"Permohonan reman ke atasnya dibenarkan empat hari hingga 14 April dan kes disiasat mengaku Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan," katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar serta tidak melakukannya secara bersendirian bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.