Pengurus syarikat rugi RM232,740, terpedaya tawaran kerja dalam talian

Iklan
Mangsa telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook sebelum komunikasi diteruskan menerusi WhatsApp.

KUANTAN-Seorang pengurus syarikat kerugian RM232,740 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada awal Oktober lalu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun terpedaya dengan tawaran pekerjaan melibatkan pengurusan kedai dalam talian di sebuah platform e-dagang terkenal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook sebelum komunikasi diteruskan menerusi WhatsApp.

"Suspek telah memperdaya mangsa untuk menguruskan perniagaan dalam talian palsu di laman sesawang yang diberikan dan mempelawa mangsa untuk membuka sebuah kedai di platform e-dagang terkenal di bawah cawangannya.

Iklan

"Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak enam peratus dan akan dibayar dalam tempoh tujuh hari daripada hasil jualan dengan syarat perlu mendahulukan modal sendiri bagi melunaskan tempahan pelanggan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, dalam tempoh 25 Disember tahun lepas hingga 22 Januari lalu, mangsa telah membuat sebanyak 17 transaksi ke 16 akaun bank berbeza.

Iklan

Katanya, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang komisen seperti yang dijanjikan dan diminta untuk terus membuat pembayaran tambahan.

"Mangsa telah menggunakan wang simpanan sendiri untuk kesemua transaksi yang dibuat," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan serta menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan terlebih dahulu sebelum https://semakmule.rmp.gov.my/ membuat sebarang transaksi," ujarnya lagi.