TAPAH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan lebih RM1.63 juta bagi pelaksanaan 33 projek di seluruh Parlimen Tapah termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tahun ini.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan merangkumi pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur antaranya kerja-kerja menaik taraf tandas awam, medan selera dan pemasangan lampu LED itu merupakan tertinggi pernah disalurkan ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, RM3.05 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan 16 projek menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan.
"Sejumlah RM1.87 juta diluluskan bagi 10 projek kemajuan Kampung Baru Cina melibatkan naik taraf jalan, longkang dan dewan orang ramai.
"Manakala RM798,000 bagi projek naik taraf landskap Taman Malaysia Tapah dan pelaksanaan Kajian Pelan Induk Landskap, Majlis Daerah Tapah," katanya kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 di Parlimen Tapah di sini pada Khamis.
Beliau berkata, turut menerima impak dari peruntukan tersebut adalah projek perumahan rakyat (PPR) sebanyak RM377,000 untuk kerja penggantian pagar, membaiki taman permainan dan pendawaian semula yang akan diselaraskan semula di bawah inisiatif Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).
Katanya, sebanyak RM40,000 pula diluluskan kepada dua ketua isi rumah dalam Parlimen Tapah di bawah Program Baik Pulih Rumah masing-masing bernilai RM20,000.
"Seterusnya bagi projek baik pulih dan naik taraf Dewan Muhibbah Bidor melibatkan kos RM849,970, ia memfokuskan pembinaan laluan pejalan kaki yang berbumbung, membaik pulih lantai, mengecat bangunan, memasang skrin LED serta memasang pintu dewan.
"Kerja penambahbaikan di Taman Malaysia Tapah yang melibatkan kos sebanyak RM499,900 pula dilakukan, sejajar dengan hasrat KPKT untuk membina 100 Taman Rekreasi Madani (TRM) pada setiap tahun dalam tempoh lima tahun menjadikan jumlah keseluruhan 500 taman menjelang 2028," katanya.
Beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan menitikberatkan pembangunan negeri-negeri termasuk Tapah dan melalui inisiatif tersebut menunjukkan bahawa pembangunan dan kemajuan tidak mengenal batas wilayah atau perbezaan politik.
"Suka saya mengingatkan bahawa peruntukan yang diluluskan ini adalah belanjawan berdasarkan prestasi untuk memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat.
"Tidak ada pembaziran, ketirisan mahupun pemborosan," katanya.
Sempena program itu, Kor Ming turut melawat beberapa lokasi pelaksanaan projek seperti Projek Naik Taraf Gerai dan Tandas Pasar Awam Tapah Road serta projek baik pulih rumah di Kampung Mak Teh, Tapah Road dan Kampung Baharu Cold Stream.
Beliau juga sempat menyantuni penduduk di Kampung Mak Teh dan melawat Pasar Awam Air Kuning serta Dewan Muhibbah Bidor yang turut menerima peruntukan naik taraf.