KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) bersedia berdepan tiga atau empat penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini terdapat khabar angin bahawa lebih dua calon akan bertanding pada PRK itu.
Beliau berkata, calon PN yang diperkenalkan juga merupakan anak tempatan dan individu terbaik untuk bertanding.
"Barisan Nasional (BN) menurunkan calon cucu kepada orang Cina manakala calon yang kita tampilkan pula ialah anak Cina," katanya.
"Kita memang bersedia sama ada tiga atau empat penjuru," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan pada Khamis.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud itu turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mempersoalkan calon BN yang memegang jawatan sebagai Setiausaha UMNO Bahagian merupakan penjawat awam.
"Penjawat awam tidak boleh pegang jawatan melainkan dengan kebenaran. Yang lain tidak ada isu," katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberitahu jentera PN juga sudah bekerja keras dengan lebih awal di semua peti undi melalui pemantauan membabitkan isu tempatan.
"Isu tempatan ini biasanya akan menjadi perkara utama penduduk," katanya.
Beliau sebelum itu membuat pengumuman bahawa Pengerusi PN Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 43, sebagai calon PN bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengumuman dibuat pada Majlis Pengumuman Calon PN di Padang Awam, Tapah Road pada Rabu.