PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh meneruskan momentum cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin pada Rabu.
Justin yang mara selepas bangkit menjinakkan cabaran Hyeok-jin dalam perlawanan yang berlangsung tiga set di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China, itu.
Bagaimanapun pemain bimbingan Kenneth Jonassen tersebut yang mara dari fasa kelayakan itu bermula goyah apabila tewas set pertama 14-21.
Set kedua, Justin kembali menampilkan permainan lebih kemas bagi menyamakan kedudukan 22-20 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan untuk kemenangan 21-16 dalam masa 79 minit.
Justin selepas ini akan berdepan pemenang perlawanan antara wakil Jepun, Koki Watanabe atau jaguh Indonesia Jonatan Christie di pusingan kedua.
Sementara itu, cabaran seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong berakhir selepas tewas kepada pilihan ketiga, dari Thailand Kunlavut Vitidsarn.
Tze Yong yang kali terakhir beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari tahun lalu selepas tidak menyertai kejohanan kompetitif akibat mengalami kecederaan belakang sejak Terbuka Malaysia, Januari sebelum itu, tewas 9-21, 12-21 dalam masa 44 minit.
Sebelum itu, cabaran rakan senegara, Leong Jun Hao terhenti selepas tewas kepada pemain Taiwan, Lin Chun-yi, 11-21, 19-21 dalam masa 41 minit.