Pas bantah penganjuran parti Songkran di Batu Ferringhi

Iklan
Pas Pulau Pinang mendesak agar pihak berwajib membatalkan program Sonic Splash Songkran Music Beach yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini. Gambar kanan: Muhammad Fawwaz

GEORGE TOWN - Pas Pulau Pinang membantah penganjuran program Sonic Splash Songkran Music Beach anjuran Ferringi Heart Beach Club Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, program itu jelas mempromosikan acara yang mencolok mata dan merendahkan martabat nilai insani yang dimuliakan oleh Tuhan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun negara ini, bahkan dalam agama juga tidak menghalang program berbentuk hiburan, penganjurannya perlulah mengikut tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Pas Pulau Pinang menzahirkan rasa kekecewaan berhubung penyebaran iklan program ini yang menggores hati rakyat Malaysia.

Iklan

"Rakyat Malaysia yang sebenarnya kaya dengan nilai murni dan adab ketimuran seakan tercabar dengan penganjuran program ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, budaya hedonisme yang melampaui batas dan adab tidak seharusnya dibenarkan, apatah lagi mendapat sambutan.

Iklan

"Rentetan daripada gaya hidup yang berkiblatkan Barat ini akan menghasilkan kebobrokan nilai dalam masyarakat," tambahnya.

Muhammad Fawwaz juga mendesak agar pihak berwajib membatalkan program tersebut.

"Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu membatalkan program ini serta memantau dan menghalang sebarang program lain yang tidak mengikut piawaian yang sepatutnya, lebih-lebih lagi yang jelas membawa unsur kemaksiatan," katanya lagi.

Acara Sonic Splash Songkran Music Beach dijangka berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini di Batu Feringghi, bermula pada jam 4 petang hingga lewat malam.

Menurut iklan pada poster penganjuran, orang ramai yang ingin menyertai pesta air ini perlu membeli tiket pada harga antara RM60 hingga RM120 seorang.

Selain aktiviti bermain air dan persembahan muzik, turut diadakan jualan makanan Thai dan persembahan api.