GEORGE TOWN- Anggota polis yang cedera parah selepas tertembak diri sendiri dalam kejadian pada petang Selasa dilaporkan kritikal.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang cedera parah di kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
"Mangsa kritikal. Dia masih di ICU (HPP)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ditanya mengenai punca kejadian, Hamzah berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut.
"Kita masih mengumpul maklumat lanjut untuk mengetahui punca kejadian, sama ada ia disebabkan masalah peribadi, kerja atau masalah lain," tambahnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis berpangkat koperal parah di kepala dipercayai tertembak diri sendiri dengan menggunakan pistol dalam kejadian di pos pengawal Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Anggota berkenaan berusia 58 tahun dan bertugas di Cawangan Kem Komandan, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Dalam kejadian pada jam 6.12 petang itu, anggota tersebut dijumpai dalam keadaan cedera di bahagian kepala di Bilik Pengawal IPK Pulau Pinang.
Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan telah dilepaskan daripada senjata yang digunakan oleh anggota tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39, Akta Senjata 1960.