SHAH ALAM -"Pak Ngah minta maaf kalau selama ini ada buat salah dan susahkan hidup semua.”
Demikian luahan tulus seorang bapa saudara kepada Noor Fatihah Abdul Razap, 26, sambil memeluknya erat pada pagi Syawal baru-baru ini.
Menurut Noor Fatihah, Zainal Abidin Awang, 56, merupakan abang kepada ibunya yang tidak pernah mendirikan rumah tangga dan menumpang kasih sayang daripada anak-anak saudara sebagai pengganti zuriat sendiri.
Katanya, Zainal Abidin yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ngah pernah terjerumus dalam najis dadah selama berbelas tahun sehingga masyarakat kampung membenci dan menjauhinya.
Namun, sekitar tahun 2014, Pak Ngah mula menunjukkan perubahan positif yang drastik dan perlahan-lahan kehadirannya kembali diterima oleh keluarga dan penduduk kampung.
"Dahulu memang tak rapat, tapi sejak dia berubah setiap hari ke masjid buat kerja mencuci, solat tidak tinggal. Sampailah sekarang.
"Dari situ saya mula rapat dan memang selalu bertanya khabar dia walaupun kini sudah berkahwin,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, tular video di TikTok berdurasi 14 saat memaparkan seorang bapa saudara memeluk erat anak saudaranya hingga menitiskan air mata di pagi Hari Raya Aidilfitri.
Hantaran itu bukan sahaja menyentuh hati tetapi turut memberi kesan mendalam terhadap ramai penonton yang menyaksikan ikatan kekeluargaan yang kuat antara mereka.
Tambah Noor Fatihah, buat pertama kalinya pada tahun ini juga Pakngah bersetuju ketika diajak untuk mengambil gambar raya bersama.
"Sebelum ini memang tidak pernah bergambar satu keluarga, mungkin disebabkan kekangan waktu dan sebagainya. Jadi saya gunakan kesempatan raya untuk mengajak Pakngah bersama-sama mengambil gambar.
"Selalunya dia tak nak, tapi kali ini dia nak. Sekurangnya ada sekeping dua gambar untuk dijadikan kenangan,” tambahnya.
Katanya, ramai anak saudara tidak peduli tentang bapa saudara masing-masing apatah lagi mereka yang tidak berkahwin.
Baginya, kadangkala mereka sebenarnya hanya ingin kasih sayang daripada anak-anak saudara tetapi mungkin tidak tahu cara yang sesuai atau malu untuk meluahkan perasaan tersebut.
"Mungkin mereka dambakan kasih daripada anak tetapi sebab jodoh tiada, dengan anak saudaralah mereka tumpang kasih sayang.
"Selagi mereka masih ada, hargailah dan sering bertanya khabar,” katanya.