Warga emas pandu van sekolah lawan arus di BORR

Iklan
Van sekolah melawan arus dan berbahaya di BORR pada Selasa yang videonya tular di media sosial. - Tangkap layar video tular
BUTTERWORTH - Polis menahan seorang lelaki warga emas yang memandu van sekolah secara melawan arus dan berbahaya di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini pada Selasa yang video insidennya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, lelaki berusia 70-an itu ditahan oleh kereta peronda polis (MPV) yang melalui kawasan tersebut kira-kira 1 tengah hari tadi.

"Lelaki warga emas itu memandu melawan arus dan mendakwa telah tersalah jalan namun tiada sebarang kemalangan atau kejadian tidak diingini berlaku ketika itu.

"Lelaki yang memandu sendirian itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang memaparkan sebuah van sekolah memandu secara lawan arus di BORR. - Bernama