SUBANG JAYA - Kesan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini menyebabkan sekurang-kurangnya 8,000 residensi dan komersial serta 300 kilang terjejas.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, sebahagian besar bekalan gas terlibat adalah untuk bekalan stesen janakuasa elektrik.
Katanya, sebanyak empat stesen janakuasa yang terjejas iaitu Stesen Janakuasa Connaught Bridge di Klang, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar dan Stesen Janakuasa Putrajaya.
"Dua daripada stesen janakuasa ini telah menggunakan arang batu dan sumber minyak. Tapi dua lagi tak boleh (operasi) kerana ia menggunakan sumber gas sahaja.
"Setakat ini bekalan elektrik tidak terjejas kerana dapat diagihkan ke lokasi lain untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik negara," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Selasa.
Tambahnya, sebanyak 330 juta kaki kubik gas asli diperlukan setiap hari bagi membekalkannya kepada empat stesen janakuasa serta residensi, komersial dan kilang.
Jelas beliau, sebanyak 200 juta kaki kubik diperlukan untuk stesen janakuasa itu manakala baki 130 juta kaki kubik pula diperlukan untuk bekalan ke residensi, komersial dan kilang.
Dalam insiden pada 1 April, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.
Kebakaran kira-kira 500 meter saluran paip gas turut menyebabkan letupan dan menyebabkan kediaman dan harta benda penduduk mengalami kerosakan teruk selain kecederaan kepada penghuninya.