SEPANG- Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai rakan penerbangan rasmi dan penaja premier Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Fair 2025.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, kerjasama strategik itu membuktikan kekuatan dan komitmen kedua-dua pihak dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan domestik dan antarabangsa.
Menurutnya, MATTA komited terhadap pembangunan pelancongan mampan dan bertanggungjawab di semua peringkat. Kerjasama seperti ini amat penting untuk mencapai matlamat tersebut.
"Kerjasama ini bukan sesuatu yang baharu. Sejak edisi Mac 2018, MAG telah memainkan peranan penting sebagai rakan penerbangan rasmi untuk Pameran MATTA.
"MATTA amat menghargai hubungan jangka panjang ini dan yakin ia akan terus menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negara," katanya pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama KLIA, di sini pada Selasa.
MATTA Fair 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 20 April 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dijangka menjadi tumpuan utama penggemar pelancongan di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran berkata, penyertaan MAG dalam Pameran MATTA membuktikan komitmen mereka terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta usaha memperkukuh Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke Asia dan seterusnya.
"MAG komited menyediakan tawaran terbaik kepada pengunjung Pameran MATTA di samping mempromosikan keindahan dan kepelbagaian Malaysia melalui pengalaman penerbangan yang penuh dengan layanan mesra Hospitaliti Malaysia," ujarnya.
Sepanjang tiga hari pameran tersebut, pengunjung bakal menikmati pelbagai promosi tambang penerbangan ke destinasi pilihan, pakej pelancongan menarik, dan perkhidmatan nilai tambah yang ditawarkan oleh MAG melalui Malaysia Airlines, Firefly, MASwings, dan AMAL.
Pavilion MAG yang terletak di Aras 3, Dewan Antarabangsa, bakal menempatkan 72 reruai yang menawarkan pengalaman interaktif serta maklumat menyeluruh mengenai produk dan perkhidmatan MAG, termasuk pengalaman dalam penerbangan dan destinasi yang ditawarkan.
Orang ramai disarankan mengikuti laman web rasmi serta media sosial MATTA di Facebook, X, TikTok, Instagram @mattafair.official, dan saluran Telegram @MATTA_Fair untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Pameran MATTA.