SHAH ALAM – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mempertahankan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz yang menghadiri satu program di sebuah rumah ibadat bukan Muslim.
Syahredzan dalam kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat.
Menurutnya, kehadiran seorang wakil rakyat Muslim ke rumah ibadat seperti kuil, tokong, atau gereja tidak seharusnya dipolemikkan kerana tujuannya adalah untuk menyantuni rakyat yang telah menjemput wakil mereka, bukan untuk menyertai sebarang ritual keagamaan.
"Wakil rakyat harus mewakili semua kaum dan agama, bukan hanya komunitinya sahaja,” tegas Syahredzan dalam kenyataan tersebut yang dikongsi di laman Facebooknya pada Selasa.
Beliau turut menyuarakan harapan agar isu sebegini tidak lagi dijadikan bahan perdebatan politik yang tidak sihat. Katanya, polemik seperti ini sering dimainkan oleh penyokong parti politik tertentu apabila pemimpin kerajaan menghadiri acara di rumah ibadat bukan Muslim.
"Beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang menyantuni rakyat di rumah ibadat bukan Muslim sebelum ini telah dikecam dan dicerca, termasuklah Perdana Menteri sendiri. Malah, saya sendiri juga pernah mengalaminya,” tambahnya.
Syahredzan juga membidas sikap sesetengah pihak yang bersikap berat sebelah dalam menilai tindakan pemimpin politik.
"Jangan pula bila pemimpin belah lawan buat, jadi salah. Tetapi bila pemimpin anda buat, boleh pula,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar berpolitik dengan matang dan lebih fokus kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama.