BENGALURU - Seorang lelaki tergamak membunuh isterinya dengan mengelar leher wanita itu di tengah jalan selepas mengesyaki dia berlaku curang, dalam kejadian ngeri yang berlaku di kawasan Electronic City, Bengaluru, pada malam Jumaat lalu.
Suspek dikenali sebagai Krishnappa, 43, seorang buruh harian dari Bagepalli, daerah Chikkaballapur, dipercayai telah datang ke bandar itu dengan niat untuk membunuh isterinya, K Sharada, 35, yang bekerja sebagai pembantu rumah.
Menurut pihak polis, insiden berlaku kira-kira jam 8 malam waktu tempatan ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Krishnappa dipercayai telah menunggu mangsa di laluan biasa sebelum menyerangnya secara tiba-tiba dan berulang kali menikam leher mangsa menggunakan pisau.
Sharada rebah serta-merta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Orang awam yang berada di lokasi segera mengejar suspek yang cuba melarikan diri sebelum berjaya menahannya dan menyerahkan kepada pihak polis.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Bengaluru, Sarah Fatima bersama pasukan forensik hadir ke tempat kejadian tidak lama selepas insiden untuk menjalankan siasatan.
Kes telah didaftarkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Agensi