MELAKA - Gara-gara hilang sabar dengan tindakan jirannya yang kerap membuat bising dengan berkaraoke, seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila memukul mangsa menggunakan sebatang besi pada pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek berusia 40 tahun itu dipercayai memukul lelaki berusia 65 tahun itu di kawasan jalan tepi Sungai Alai, Pengkalan Jajar Alai.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bagaimanapun suspek berjaya ditahan pada hari kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, siasatan mendapati insiden itu berpunca daripada pertengkaran antara pengadu dan suspek sehingga kedua-duanya saling meludah ke muka masing-masing.
Katanya, suspek dipercayai menegur tindakan warga emas itu yang kerap membuat bising termasuk berkaraoke sehingga keluarganya terganggu.
"Daripada saling meludah kemudian berlaku pergelutan. Ketika itu juga suspek dikatakan telah memukul pengadu dengan sebatang besi dan terkena pada bahagian lutut sebelah kiri mangsa sebelum warga emas ini membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Jelasnya, permohonan reman telah dibuat pada minggu lalu selama empat hari sebelum disambung lagi tiga hari hingga Khamis ini.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja, menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," ujarnya.