MELAKA - Individu yang disyaki menculik gadis orang kurang upaya (OKU) pada Sabtu lalu direman selama empat hari bermula Isnin.
Perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari terhadap suspek lelaki berusia 40 tahun.
Iklan
Iklan
Suspek yang disyaki melarikan gadis berusia 18 tahun itu direman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Lelaki berkenaan yang memakai jaket hitam dan berkain pelekat biru tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 3.30 petang dengan diiringi pegawai polis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang gadis OKU yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, di sini pada Sabtu, disahkan telah diculik oleh seorang lelaki yang membawanya sejauh 510 kilometer sebelum mangsa ditemui di Sungai Petani, Kedah pada Isnin.
Perbuatan berkenaan terbongkar selepas polis berjaya menahan seorang peniaga yang melarikan remaja itu menaiki sebuah Perodua Kelisa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki tersebut berjaya ditahan di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 4 pagi, Isnin.